PENGANTAR
SEMUA orang nak hidup. Seboleh-bolehnya juga mereka tidak mahu hidup dalam keadaan sakit dan berpenyakit.
Tetapi bagaimana kalau perasaan ‘nak hidup’ itu sendiri telah bertukar menjadi penyakit?
Inilah soalan yang berlegar di fikiran saya - soalan yang tidak datang secara spontan tetapi hasil pemerhatian dan pengamatan yang mendalam. Soalan yang akhirnya mendorong kepada terhasilnya naskah ini.
Soalan ini juga bukan baru muncul. Di dalam buku ‘Melayu Di Persimpangan’, saya pernah menyentuhnya secara sepintas lalu tetapi dalam konteks yang sedikit berbeza.
Selepas empat tahun kemunculan ‘Melayu Di Persimpangan’, saya mendapati persoalan yang sama bukan sahaja masih, malah menjadi semakin relevan. Di mana-mana saya melihat penyakit nak hidup itu bercambah dan membiak di mana-mana juga ia dibiarkan menjadi barah yang meruntuhkan prinsip dan merosakkan akhlak.
Saya hanya orang kecil. Tidak banyak yang boleh saya lakukan untuk merawat dan mengubat penyakit itu. Namun saya juga tidak sanggup memejamkan mata dan memalingkan muka begitu sahaja.
Sebagai orang kecil, ruang untuk saya agak terhad dan kadangkala dihadkan oleh keadaan. Saya tidak mempunyai pentas, dan sama sekali tidak berupaya membeli ruang di pentas itu untuk bersuara sambil melakukan apa yang dirasakan patut dan perlu. Kekurangan-kekurangan itulah menyebabkan saya memilih untuk menggunakan pena. Saya tidak berharap lebih selain daripada mahu mengajak mereka yang sebangsa, seagama dan senegara merenung sebentar wabak besar yang sedang melanda ini. Wabak yang jika terus dibiar berkemungkinan besar akan mengekang mereka, dan kita semua, daripada menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang diimpi-impikan!
Tidak ada konklusi dalam naskah ini. Saya mahu mengelak daripada melanjutkan tradisi menyogokkan kesimpulan sendiri ke fikiran orang lain.
Apa yang bakal anda temui di dalam naskah ini nanti adalah pertanyaan, persoalan dan sedikit andaian. Di sesetengah tempat, ia barangkali melukakan, namun anggaplah sahaja ianya sama seperti luka semasa pembedahan - luka yang tujuannya semata-mata untuk menyembuhkan.
NIK AHMAD AZMI NIK MD DAUD
Kuala Lumpur
September 2004
Untuk ibu saya, Hajjah Wan Zainab yang kembali ke Rahmatullah pada 30 Mei, 2004 di Kota Bharu, Kelantan. Ibu dan datuk saya, Dato’ Haji Wan Mohamed (Presiden) bin Haji Wan Ahmad (Dato’ Bentara Dalam Kelantan) merupakan pengasas utama peribadi yang baik dalam diri saya. Yang buruk datang daripada perilaku saya sendiri.
Recent comments
4 days 17 hours ago
1 week 10 hours ago
1 week 3 days ago
1 week 6 days ago
1 week 6 days ago
2 weeks 1 day ago
3 weeks 15 hours ago
3 weeks 1 day ago
3 weeks 1 day ago
3 weeks 1 day ago