Penyakit Nak Hidup - Bab 1

ORANG Melayu sebenarnya masih sakit. Masih banyak penyakit. Ini kenyataan yang cukup tak sedap didengar, tetapi memejamkan mata, menutup telinga dan memalingkan muka daripada kenyataan itu tidak akan menjadikan kita lebih baik, sebaliknya memungkinkan kita tenat.

Lagi satu dakyah songsang. Lagi satu usaha untuk memperlekehkan Melayu!

Barangkali akan ada yang terus menuduh begitu. Mungkin ada yang akan marah-marah. Kemudian mereka pun akan menyogokkan kita dengan cerita-cerita tentang kehebatan orang Melayu. Tentang kejayaan. Tentang kelebihan. Tentang pencapaian. Cerita-cerita yang panjang, dan selalunya juga, yang sengaja dipanjang-panjangkan.

Tetapi ini bukan buku rekod kejayaan. Buku ini tidak ditulis untuk mewar-warkan kisah-kisah kehebatan. Ini buku tentang penyakit. Lebih tepat lagi tentang orang-orang yang sakit dan berpenyakit.

Hakikatnya memang orang Melayu sudah boleh dianggap berjaya. Sama ada di atas kertas atau di luar kertas, tiada sesiapa pun boleh menafikannya. Senarai kejayaan orang Melayu pula bukan calang-calang. Ianya cukup panjang. Dan senarai itu akan menjadi berkali ganda lebih panjang jika ukuran yang dibuat ialah antara pencapaian Melayu dahulu dan Melayu sekarang.

Tidak perlulah kita melihat terlalu jauh ke belakang. Lupakan zaman Datuk Maharajalela atau Tok Gajah. Lupakan era Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbung. Lihat sahaja pada era selepas perang dan ketika sebelum merdeka. Waktu itu apa yang Melayu ada? Mereka tercicir dalam segala perkara. Dalam ekonomi mereka berada di tempat paling belakang. Dalam pendidikan dan dalam segala cabang sosial lain mereka terlalu ketinggalan. Waktu itu, usahkan bermimpi tentang kejayaan, hendak melupakan igauan tentang kegagalan pun orang Melayu tidak mampu.

Tujuh lapan puluh tahun yang lampau, orang Melayu masih bercelaru dalam segala perkara, terutama mengenai hak dan kepentingan mereka. Banyak yang mereka tidak faham. Bilangan Melayu yang faham, yang boleh dianggap sebagai ‘celik hak’ sangatlah sedikit. Hanya sekerat dua, iaitu orang-orang seperti Mohd Eunos Abdullah, Zaaba, Ibrahim Yaacob, dan kemudiannya diikuti oleh Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanudin Helmi dan seorang dua lagi. Mereka inilah sebenarnya yang mengubah cara berfikir dan cara bertindak orang Melayu. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan mereka itulah agen perubahan yang sebenar bagi semua Melayu di bumi Semenanjung ini.

Pada zaman tokoh-tokoh besar itu, majoriti orang Melayu berada dalam keadaan serba pasrah. Tidak mengapalah jika mereka keliru dengan hak-hak ekonomi kerana dalam tempoh itu hubungan orang Melayu dengan ‘harta dunia’ tersebut tidaklah berapa akrab. Yang lebih buruk lagi ialah orang Melayu juga kebanyakannya tidak tahu apa-apa mengenai politik - bidang yang kini menjadi darah dan daging, urat dan nadi serta kulit dan isi mereka.

Perlu disebut bahawa ketika itu pemahaman Melayu terhadap istilah politik itu sendiri masih tidak tentu hujung pangkal. Sehingga awal 1920-an, orang Melayu masih teraba-raba mencari makna perkataan perkataan tersebut. Saya ada menyentuh sedikit mengenai perkara ini dalam buku pertama saya, ‘Melayu Di Persimpangan’, di mana pada tahun 1927, seorang penulis Melayu mendefinasikan politik sebagai ‘ilmu yang baru’.

Kejahilan orang Melayu terhadap ilmu dan elemen politik moden itu merupakan sebab sebenar mengapa gerakan-gerakan nasionalisma pada era sebelum perang tidak begitu mendapat perhatian. Yang beria-ia hanya sekerat dua tokoh-tokoh yang disebutkan tadi. Melayu lain tidak mempedulikannya. Mereka lebih selesa hidup serba tak cukup daripada terbabit melakukan sesuatu yang tidak mereka fahami.

Senario itulah sebenarnya antara sebab kenapa penjajah British pada mulanya bersikap acuh tak acuh terhadap perjuangan orang orang Melayu. British mungkin menyangka orang Melayu tidak tahu apa-apa tentang perjuangan politik dan orang Melayu juga tidak akan berpolitik sehingga bila-bila.

British tersilap besar. Mereka terlupa satu perkara bahawa di sebalik kejahilan itu, orang Melayu memiliki kehebatan lain yang luar biasa. Kehebatan yang sukar ditandingi oleh sesiapa sahaja.

Pada pandangan kasar mungkin orang Melayu kelihatan agak pasif. Tetapi jika diamati lagi betul-betul ternyata sikap pasif itu bukanlah cermin sebenar terhadap kelemahan mereka. Sikap pasif orang Melayu selalunya didorong oleh kecurigaan mereka terhadap sesuatu, apatah lagi jika sesuatu itu perkara yang baru dan asing. Bawalah apa pun, mereka tidak akan menerimanya bulat-bulat. Mereka akan tengok dulu. Mereka akan mencurigainya habis-habisan. Keadaannya samalah dengan sewaktu kita mempelawa mereka menjamah juadah yang disaji. Biasanya orang Melayu tidak terburu-buru menjemputnya. Kadangkala mereka menjadi orang yang terakhir menjamah juadah itu, dan menjadi orang yang terakhir juga berhenti menyuapnya ke mulut.

Sikap curiga orang Melayu ini turut dapat dikesan oleh Frank Swettenham, Residen Inggeris yang terkenal itu. Dalam bukunya, ‘Malay Sketches’, Swetteham menyebut dengan jelas tentang bagaimana tebalnya kecurigaan Melayu terhadap sesuatu.

Namun apa yang menarik ialah kecurigaan mempunyai jangka hayat yang sangat singkat. Selepas fasa kecurigaan itu berlalu, orang Melayu boleh bertukar wajah seratus peratus. Dalam masa yang singkat juga mereka akan menggauli dan memesrai perkara baru tersebut. Kemudian dalam masa yang lebih singkat, perkara baru itu akan diangkat martabatnya lalu diterima pakai sebagai sebahagian daripada hak sendiri.

Perkara begini cukup banyak berlaku dan ianya tidak pernah berkurangan dari dahulu sehingga sekarang. Contoh paling mudah boleh anda lihat daripada cara orang kita bertutur dengan orang bukan Melayu dalam ‘telor’ pasar. Mulanya mungkin sedikit kekok. Tetapi selepas sepatah dua, selepas memahami laras dan gaya pertuturan yang digunakan oleh orang bukan Melayu itu, kita tidak akan teragak-agak menggunakan laras dan gaya yang sama dengan cara yang lebih hebat. Akhirnya muncullah Melayu yang pelat Siam, pelat Cina, pelat India, pelat Indon, pelat Bangla dan sebagainya. Pelat itu pula boleh diubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Demikianlah hebatnya kita.

Keadaan yang sama turut berlaku dalam banyak perkara lain. Kesemuanya memberi gambaran yang menjurus pada satu kesimpulan iaitu, orang Melayu tidaklah sukar menerima apa juga perkara baru. Mereka cuma tidak terburu-buru. Mereka cuma memerlukan sedikit masa untuk memahami perkara baru tersebut sebelum menyekutukan diri dengannya. Kemudian orang melayu mungkin tidak berpaling ke belakang lagi. Tidak mustahil mereka akan menyerahkan segala-galanya, jiwa dan raga kepada perkara baru tersebut. Kalau perlu mereka tidak akan teragak-agak untuk mengorbankan sebahagian daripada budaya sendiri demi membuka laluan kepada benda baru tersebut.

Perkara yang samalah berlaku dalam hubungan antara orang Melayu dan politik. Kelambatan memahaminya tidak bermakna orang Melayu lambat memanfaatkan bidang itu. Sebaik sahaja kefahaman itu datang, orang Melayu tidak bertangguh sesaat pun untuk mempergunakan politik bagi dijadikan senjata penjuangan mereka.

Sehingga sekarang keadaannya begitu. Orang Melayu dan politik teramat akrab sehingga angin pun tidak dapat menyelit. Kini Melayu seolah-olah tidak dapat hidup jika tidak berpolitik atau jika tidak bercakap tentang politik. Yang menariknya, minat itu tidak hanya terbatas pada orang-orang dewasa Melayu yang berada di tengah gelanggang, malah ia sering melibatkan budak-budak yang baru turun dari buaian. Percayalah, kalau Aristotle, ahli falsafah Greek yang menulis ‘The Politics’ pada abad ke empat Sebelum Masehi itu hidup semula, dia sendiri akan menggaru kepala. Akan hairan melihat bagaimana wujudnya satu bangsa yang dibayangi oleh pengaruh politik setebal dan sehebat kita.

Demikianlah. Politik kini telah menjadi rukun kehidupan bangsa kita. Disebabkan pengaruhnya yang cukup besar itu, politik di kalangan Melayu tidak dipraktikkan dalam konteks kepartian semata mata. Sebaliknya, ia muncul dalam seribu wajah dan di segenap premis kehidupan, termasuklah di atas mimbar masjid dan di gelanggang sukan. Ia juga bukan sahaja berlaku semasa hidup, malah ada kalanya mengheret sehingga ke persimpangan, ke alam barzah ke soal kedudukan tanah kubur dan soal solat jenazah.

Kerana orang Melayu itu boleh dikatakan berpolitik hampir sepanjang masa, tidak hairanlah kalau politik Malaysia, yang diterajui oleh orang Melayu ini sentiasa hidup. Sentiasa berwarna-warni dan ada waktunya sentiasa penuh dengan misteri!

Keupayaan memahami erti politik dalam masa yang cukup singkat, dan kemampuan menggunakannya bagi merealisasikan cita cita untuk memerdekakan bangsa dan negara, merupakan SATU-SATUNYA harta berharga yang dimiliki oleh orang Melayu pada era sebelum merdeka. Selain daripada itu orang Melayu sekadar hidup untuk menjadi bahan sendaan orang lain, khususnya orientalis barat. Mereka dibelenggu oleh kedaifan sehingga ke tulang hitam.

Pada era itu yang senang ditemui hanyalah anak-anak Melayu yang berseluar koyak atau berkain pelikat tanpa baju. Yang mudah dijumpai cuma orang tua-tua Melayu bermuka kampung dengan kopiah lusuh senget dan kot cendul tidak berbutang.

Untuk berselisih bahu dengan orang-orang Melayu kaya merupakan sesuatu yang amat payah. Melayu jenis itu boleh dilihat dengan mudah cuma dalam filem-filem keluaran Shaw Brothers dan Cathay Kris. Di tempat-tempat lain, kalau pun ada, Melayu-Melayu kaya itu selalunya tenggelam begitu sahaja. Hilang di celah-celah timbunan Melayu yang miskin dan Melayu yang papa.

Untuk mencari Melayu yang berjaya pada masa itu merupakan satu separuh gila. Jika ada sekali pun jumlah mereka terlalu kecil. Jauh lebih kecil daripada jumlah bukan Melayu yang gagal.

Melayu sebelum merdeka adalah Melayu yang sinonim dengan padi, getah, lembu dan kerbau. Dunia mereka berlegar di situ. Dunia orang-orang yang membeli ayam, menjual telurnya dan kemudian membeli sardin. Dunia orang yang tidak menanam sayur, tetapi mengutip pucuk dan umbut dari belukar dan hutan.

Perniagaan merupakan bidang yang cukup asing bagi orang Melayu sebelum merdeka. Sebenarnya dalam dekad pertama selepas merdeka pun keadaannya tidak banyak berbeza. Mereka tidak berani menceburinya. Jika ada yang berbuat demikian, kebanyakannya tertumpu pada perniagaan-perniagaan kecil. Sekadar menjaja nasi lemak bungkus, menjual sirap atau menjual nasi campur di warung-warung kecil. Mereka tidak terdorong untuk berniaga besar-besaran. Mungkin sebab mereka tidak pandai mengira duit.

Kontraktor merupakan istilah yang hampir tidak pernah disebut oleh kebanyakan datuk nenek kita. Jika ada sekelumit dua kontraktor Melayu, mereka biasanya cuma layak membuat kerja-kerja memperbaiki surau dan balairaya. Mereka tidak cukup segala galanya — modal, pengetahuan, kebolehan, pengalaman dan sokongan —yang melayakkan mereka membuat kerja-kerja yang lebih besar. Melayu juga tersisih jauh daripada urusan-urusan kewangan.

Mereka tidak berapa faham tentang bank. Mereka juga tidak mengenal bon dan saham. Bank bagi mereka cuma pajak gadai, ceti berpayung hitam dan tauke-tauke Cina, yang kesemuanya sedia membantu tanpa prosedur yang berbelit-belit.

Begitulah. Orang Melayu kekal begitu, sebagai bangsa yang serba tiada untuk suatu tempoh yang cukup lama. Dan sepanjang tempoh itu, yang mereka ada dengan banyaknya hanyalah tanah tanah yang luas, yang ‘ditanam’ dengan semak samun.

Perubahan ketara orang Melayu berlaku selepas Tragedi 13 Mei, 1969, yang di sebalik kehitamannya turut membentuk garis baru dan membina semula asas perpaduan di negara ini. Garis yang mengajar setiap warga Malaysia nilai-nilai yang perlu diangkat dan ditolak dalam suasana kehidupan yang majmuk begini.

Selepas tragedi itu, kesedaran Melayu terhadap kepentingan ekonomi menjadi lebih berganda. Fasa bersenang-lenang sambil memperkemaskan prasarana selepas kemerdekaan mula diganti dengan impian yang bersungguh-sungguh untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.

Menyedari bahawa ketidak seimbangan ekonomi antara kaum merupakan salah satu daripada punca tercetusnya tragedi berdarah itu, kerajaan Perikatan yang diketuai oleh UMNO mengambil pelbagai inisiatif, termasuklah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang popular di kalangan orang Melayu tetapi tidak begitu popular di kalangan sesetengah kaum lain itu.

DEB, yang digerakkan atas falsafah pertumbuhan yang seiring dengan pengagihan mencerminkan kesedaran bahawa pertumbuhan yang tidak diiringi oleh pengagihan hasil kekayaan antara kumpulan etnik boleh menimbulkan perselisihan dan ketegangan. Penetapan matlamat pun dibuat. Perbezaan ekonomi antara kaum dijadikan fokus untuk dirapat melalui penetapan kadar kuantitatif minimum 30 peratus pemilikan ekuiti di sektor korporat. Fokus itu dijadikan sasaran mutlak. Dan ketika itu, ketika DEB dilancarkan, hak orang Melayu ke atas kekayaan negara ini hanyalah 2.4 peratus sahaja. Diulangi; hanya 2.4 peratus.

Tetapi itu dahulu. Lama dahulu. Semuanya itu sekarang ini telah menjadi sejarah. Telah layak dimasukkan ke dalam album kenangan, sama ada untuk ditunjuk atau disorokkan daripada anak cucu.

Dalam tempoh tiga puluh tahun kebelakangan ini, orang Melayu telah jauh berubah. Mereka sekarang bukan lagi begitu. Orang Melayu telah keluar meninggalkan imej ‘kampung’, ‘darat’ dan ‘hulu banat’ yang dilekapkan kepada mereka selama ini. Mereka telah menjadi bangsa yang moden dan maju, sama hebatnya dengan orang lain. Malah lebih hebat daripada kebanyakan bangsa-bangsa lain di muka bumi ini.

Hidup orang Melayu sekarang telah senang lenang. Kalau kereta motor dijadikan ukuran kesenangan, memang orang Melayu akan termasuk dalam kelompok antara bangsa paling senang di dunia. Bukan lagi pelik jika anda melihat sebuah rumah keluarga Melayu mempunyai beberapa buah kereta dan beberapa buah motosikal. Bagi orang Melayu sekarang basikal, rakit dan sampan sudah tidak masuk buku. Malah dalam kebanyakan kes, basikal kini mereka jadikan alat senaman semata-mata.

Pandangan dan sikap orang Melayu juga telah banyak berubah. Perangai menganggap ‘yang berniaga itu mesti menipu’ sudah terhakis. Orang Melayu kini sudah tidak asing dengan dunia perniagaan. Mereka tidak lagi berasa takut untuk menceburinya, malah ramai di antara mereka yang sudah menjadi terlalu berani. Kesannya, dalam tahun-tahun kebelakanganjarang sangat kita tidak menemui orang Melayu yang tidak suka bercakap tentang perniagaan. Orang yang sedang nazak sekali pun mungkin bersusah payah membuka mulut kalau diajak membicarakan topik itu.

Di mana-mana juga anda akan dapat menemui orang Melayu yang berniaga. Kalau tidak secara sepenuh masa, mereka akan menjalankannya secara sambilan. Tidak sedikit yang melakukannya bukan sahaja ketika di rumah, tetapijuga di tempat kerja dan bukan setakatpada waktu lapang, tetapi juga semasa sedang bertugas.

Apa yang lebih hebat ialah sudah ramai orang Melayu sekarang bersikap ‘tak pandang sebelah mata’ pada perniagaan-perniagaan kecil. Dengan bahasa mudahnya, mereka dah ‘tak main’ dengan warung dan gerai, sebaliknya lebih cenderung menyerahkan perniagaan begitu kepada Melayu lain; sama ada yang datang dari Indonesia, dari seberang Sungai Golok atau dari Kampuchea.
Bagi Melayu jenis ini, minat untuk mengira wang seringgit dua telah tiada sama sekali. Mereka lebih berminat pada angka yang besar; yang bunyinya berjuta-juta; beratus juta hingga berbillion!!

Kontraktor-kontraktor Melayu sekarang bukan lagi berlegar di sekitar balai raya, surau dan jambatan. Mereka sudah meningkat jauh. Mereka bukan setakat mampu membina pencakar langit di negara sendiri, bahkan diberi kepercayaan mengorek perut bumi di negara orang.

Permainan bon, saham dan serba serbi lagi seumpamanya sudah menjadi mainan lumrah bagi orang Melayu. Mereka kini bukan setakat berani melabur dalam syarikat-syarikat kerjasama atau agensi-agensi lain yang diawasi penuh oleh kerajaan. Bangsa saya, bangsa kita, telah terkeluar daripada kepompong itu. Melabur dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di pasaran saham telah menjadi budaya hidup sebahagian besar daripada mereka. Yang lebih berani malah telah mampu mewujudkan skim pelaburannya sendiri!

Kebanggaan kita tidak hanya setakat itu. Orang Melayu kini sudah menjadi tauke kapal terbang, saudagar kapal laut dan agen kapal selam. Lihatlah pula betapa banyaknya anak-anak Melayu yang berjaya sebagai tokoh-tokoh professional yang hebat sehingga sebahagian daripadanya menjadi pakar bertaraf dunia. Dan saban tahun beribu-ribu anak Melayu terus keluar dari universiti, atau balik dari luar negara dengan ijazah digenggaman untuk dijadikan bukti yang bolèh menambahhebatkan lagi pencapaian bangsa kita.

Apa yang lebih mengagumkan ialah orang Melayu sekarang turut berada dalam senarai orang-orang yang terkaya di Malaysia. Pedulikanlah umlah mereka yang cuma seorang dua. Pedulikan juga mereka berada di kedudukan yang ke berapa. Apa yang pasti ialah bangsa kita sudah berada dalam senarai itu.

Namakan apa lagi bentuk kejayaan yang anda mahu. Percayalah, orang Melayu pasti berada di situ. Kita telah menakluki lautan yang luas, telah menawan kemuncak tertinggi di dunia, telah memacakkan bendera di kutub yang beku, malah telah menyeberangi selat di negara orang.

Ada ramai pendatang asing di bumi Melayu ini.Berjuta-juta. Terlalu ramai sehingga jumlah sebenarnya tidak dapat dikira. Mereka datang daripada pelbagai pelosok dunia dan daripada pelbagai kelompok bangsa dan budaya. Sebahagian daripadanya bergolok gadai untuk datang ke mari. Sebahagian lagi mempertaruhkan nyawa - dan mempertaruhkan punggung untuk disebat - kerana menyeludup masuk secara haram. Semuanya semata-mata kerana mahu menumpang kemakmuran yang terdapat di sini.

Bertanyalah pada pendatang-pendatang itu tentang bagaimana senangnya hidup orang Melayu di negara ini. Percayalah, mereka akan mengaguminya. Percayalah juga bahawa mereka akan mencemburuinya.

Kesenangan adalah simbol kemakmuran. Kemakmuran adalah lambang kejayaan. Dan apa yang ada di Malaysia sesungguhnya adalah petunjuk jelas terhadap kejayaan yang dicapai oleh kerajaan. Oleh kerana kerajaan itu didukung oleh barisan kepemimpinan yang diterajui oleh orang Melayu, maka dengan sendirinya kejayaan itu adalah kejayaan orang Melayu juga.

Tidak sesiapa pun boleh menafikan semua itu. Tidak sesiapa pun boleh menidakkan bahawa kisah indah mengenai kejayaan orang Melayu sesungguhnya memang patut ditulis dan dihikayatkan panjang-panjang. Tetapi sekali lagi ditegaskan, buku ini bukanlah sebuah catatan mengenai kejayaan. Ia lebih merupakan cermin kecil yang ingin menyuluh bahagian-bahagjan yang terlindung di sebalik kejayaan itu. Bahagian-bahagian yang kurang dipedulikan. Bahagian bahagian yang sakit.

Telah menjadi hukum kehidupan bahawa setiap pencapaian, apatah lagi yang berstatus kejayaan, mempunyai harga yang harus dibayar. Proses pembayaran harga itu tidak hanya berlaku semasa kita berada dalam perjalanan mencari kejayaan tersebut, tetapi juga terus berlarutan setelah kejayaan itu dicapai dan dikecap.

Aspek inilah sebenarnya yang patut kita berikan perhatian. Keghairahan bercakap tentang kejayaan tidak harus dibiarkan mengelabui kita sehingga terlupa mengamati kesan-kesan buruk yang datang bersama-sama dengannya. Harus diingat bahawa lebih banyak tamadun yang musnah kerana kejayaan dan kegemilangan, daripada tamadun yang runtuh kerana kelemahan.

Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku ke atas negara dan bangsa tercinta ini. Kita tidak mahu apa juga kejayaan yang dikecap oleh negara dan bangsa ini hilang kerana kealpaan sendiri. Kita perlu berbuat sesuatu sebelum cerita-cerita indah itu bertukar menjadi kisah-kisah yang buruk.

Manusia yang berani dan bijak adalah manusia yang berani mengakui kelemahannya sendiri, kemudian berusaha memperbaiki kelemahan itu. Bangsa yang berani dan bijak juga mesti bensikap begitu.

Berpegang pada prinsip itulah, saya tertarik dengan kenyataan seorang AhIi Majlis Kerja Tertinggi UMNO menerusi rencananya dalam sebuah akhbar arus perdana tidak berapa lama dahulu. Namanya saya tidak sebut sebab dia turut bertanding dalam pemilihan MKT kali ini. Jika disebut, nanti saya dituduh diupah melakukannya. Dalam UMNO budaya menuduh orang diupah sudah semakin berakar umbi. Terasnya sudah sama kuat dengan budaya mengupah itu sendiri!

Dalam tulisannya itu, secara berani tetapi berhemah, beliau mengajak orang Melayu menilai semula pencapaian mereka yang kelihatan hebat selama ini. Bagi beliau sendiri, segala pencapaian tersebut hanyalah bersifat ‘menang kulit dan kalah isi.’

Banyak hujah yang diberikan oleh beliau. Semuanya bernas bernas. Semuanya meninggalkan impak. Antara lain, beliau menyebut tentang bagaimana kejayaan pada mata kasar tidak mencerminkan pencapaian sebenar orang Melayu. Petunjuk-petunjuk sosio ekonomi yang ada, katanya, menyangkal tanggapan bahawa orang Melayu secara menyeluruh sudah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan.

Sambil menyebut bahawa sebelum DEB, jurang perbezaan dalam pendapatan antara Melayu dengan Cina ialah 1:2.29, kemudian menurun kepada 1:1.74 pada tahun 1999, lalu meningkat semula ke tahap terkini iaitu 1:1.83, tokoh itu membayangkan kemungkinan orang Melayu akan terlontar lebih jauh daripada pembangunan, sekiranya keadaan yang ada berterusan, ditambah pula dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, liberalisasi, saingan antara bangsa, dunia ICT, K-ekonomi dan sebagainya. Kemudian, secara halus dan lembut, beliau menganjurkan supaya DEB dikembalikan walau pun mungkin dalam bentuk dan nama yang berbeza, demi mewujudkan mekanisme yang berkesan untuk mencapai pertumbuhan dengan persamarataan.

Tidak sukar dijangka bahawa isu itu cepat menjadi panas dan membuka laluan kepada polemik sebenar yang lebih hebat mengenai nasib dan masa depan orang Melayu. Usaha-usaha mewawancara tokoh ekonomi seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh menjadikan perbincangan itu semakin panas, lebih-lebih lagi kerana kedua-dua tokoh tersebut menyuarakan pandangan yang sealiran dengan tokoh wanita berkenaan.

Maka muncullah seorang demi seorang lagi untuk turut menyuarakan pendapat. Mereka datang daripada pelbagai peringkat, daripada orang biasa yang benar-benar menginsafi nasib bangsanya sehinggalah kepada orang-orang politik yang sebahagiannya mungkin melihat isu itu boleh dijadikan jambatan untuk meraih populariti.

Apa pun isu itu memang menarik. Pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja ia berupaya mengundang perdebatan yang boleh menghabiskan bercawan-cawan kopi.

Namun, suatu hakikat yang perlu disedari ialah isu yang dibangkitkan itu sesungguhnya bukanlah sesuatu yang baru. YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah telah lama melaung dan memperjuang perkara ini secara lantang dan konsisten walau pun kurang diberikan perhatian. Beliau yang diberi gelaran “Bapa Ekonomi” oleh Dewan Perniagaan Melayu dalam tahun 1976 bukan hanya beretorik dan bangga dengan gelaran tetapi betul-betul mempraktik dan mengasaskan langkah yang menguntungkan bangsa, agama dan negara. Gelaran Tan Sri langsung tidak diguna walaupun ada ramai di kalangan kita yang sanggup memperdagangkan gelaran-gelaran seperti itu. Beliau selesa dengan hanya dipanggil Ku Li!! Petronas, Pernas, Bank Bumiputra, Dasar Ekonomi Baru, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan banyak lagi adalah antara hasil daripada perjuangan beliau.

Namun begitu, seperti mana yang dikatakan oleh bekas Perdan Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, Melayu mudah lupa. Segala jasa YBM Tengku Razaleigh sengaja dilupakan oleh mereka yang nak hidup. Tun Mahathir sendiri tetap tidak dapat lari dari kenyataan sebenar dan sebab itulah apabila negara dilanda krisis ekonomi pada penghujung dekad sembilan puluhan, beliau terpaksa mengatakan yang benar dengan mengangkat topi kepada YBM Tengku Razaleigh, setelah secara tidak langsung mengatakan pengasas Petronas adalah orang yang patut disanjung tinggi kerana memberikan negara ini kekayaan yang sebelum itu dikuasai oleh pihak ‘penjajah’. Sehingga ini YBM Tengku Razaleigh masih lagi berjuang dan usaha terbaru beliau ialah menubuhkan Tabung Pendidikan Melayu yang merupakan satu lagi langkah ke arah menyelesaikan kemelut yang mencelarukan Melayu.

Seperti tahun-tahun terdahulu, ucapan, tulisan, pandangan, cakap-cakap dan apa sahaja mengenai survival Melayu akan terus dapat kita dengar banyak kali dan berulang-ulang, terutamanya ketika menjelang musim Perhimpunan Agung UMNO.

Trend ini berlaku secara berterusan. Tujuannya mudah diteka iaitu semata-mata untuk menyediakan modal bagi didebatkan oleh para perwakilan semasa perhimpunan nanti. Paling tidak, ia akan dijadikan bahan jenaka atau bahan berbual sesama sendiri.

Selepas perhimpunan, selepas panas sehari dua dan selepas perwakilan balik ke kampung halaman masing-masing, isu itu akan sejuk perlahan-lahan. Kemudian ia pun akan dilupakan terus buat sementara. Tahun-tahun akan datang ia akan dinyanyikan semula, diberi nafas baru dengan tajuk dan lirik baru. Kemudian, dewan pun panas lagi untuk beberapa hari sebelum segala-galanya kembali ke keadaan asal, sejuk, beku dan tepu!

Dalam hal ini saya tertarik dengan kata-kata Prof. Ismail Salleh, “Saya sangat-sangat mengharapkan isu kepincangan ini tidak menjadi satu agenda yang ‘fashionable’ iaitu isu yang hanya dibangkitkan secara bermusim. Apabila dekat perhimpunan, masalah ini diheboh hebohkan tetapi kemudian ia lenyap begitu sahaja, seperti sebelum sebelum ini.”

Tanpa maksud mematahkan semangat profesor yang mencatatkan nama sebagai orang cacat penglihatan yang paling cemerlang di Malaysia itu, saya tidak ragu-ragu berkata bahawa harapan beliau tidak akan menjadi kenyataan selagi orang Melayu, khususnya yang berada di dalam UMNO, masih macam sekarang. Masih sakit dan masih berpenyakit.

Walau apa pun sikap kita terhadap orang-orang yang sekali membangkitkan isu survival Melayu ini, kita tetap perlu berterima kasih kepada mereka. Lupakanlah apa juga maksud yang tersirat di hati sanubari mereka, sekiranya ada. Lupakanlah niat dan tujuan mereka. Hargailah kesanggupan mereka melakukannya. Setidak tidaknya, mereka mengajak kita berfikir sebentar dan mendorong kita untuk kita melihat ke dalam diri, bagi mencari di mana silap dan di mana salahnya.

Sesungguhnya, setiap kali bercakap tentang survival Melayu, kita tidak dapat mengelak daripada membuka pekung di dada. Adalah satu realiti bahawa di sebalik persoalan itu, yang terselindung ialah kelemahan kita, orang-orang Melayu, baik di peringkat massa mahu pun di peringkat lebih tinggi iaitu kelompok-kelompok yang diberi amanah untuk memimpin kita.

Dalam rencana mengenai ‘menang kulit kalah isi’ yang ditulis oleh Ahli MKT wanita yang saya sebutkan tadi, beliau bukan sahaja mensasarkan teguran dan sasarannya kepada pemerintah supaya mewujudkan semula formula-formula yang setanding DEB, tetapi turut menekankan tentang perlunya orang Melayu bangkit untuk menghadapi kenyataan sebenar bahawa mereka masih tercicir.
Pandangan-pandangan lain pun begitu. Semuanya menjurus pada satu kesimpulan; bahawa segala bentuk keciciran yang berlaku ini adalah berpunca daripada orang Melayu sendiri. Tak kiralah sama ada Melayu itu di peringkat kepemimpinan atau pun Melayu di peringkat yang dipimpin.

Ini pun sebenarnya bukan lagi isu baru. Cerita orang Melayu dengan masalah-masalah yang diciptanya sendiri merupakan lagu lama yang nampaknya tak akan basi-basi. Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, seseorang Melayu pasti pernah mendengar orang bercakap mengenainya, baik dalam bentuk teguran, sindiran atau pun penghinaan.

Kurang daya saing, kurang semangat juang, tidak pandai merebut peluang, mengharapkan kesenangan secara mudah, tidak gemar berusaha, kurang berdisiplin, suka membuang masa; pendek kata namakan sahaja yang sikap yang tidak elok dan kurang baik, kebanyakan Melayu memilikinya. Pengamatan terhadap wujudnya segala sindrom dan penyakit ini telah wujud sejak lama; seawal zaman Munshi Abdullah. Pengamatan yang sama dan tulisan-tulisan mengenainya turut dizahirkan oleh orientalis-orientalis barat. Tokoh tokoh besar seperti Zaaba dan pejuang-pejuang awal seperti Mohd Eunos Abdullah, dan kemudiannya Abdul Rahim Kajai turut mengesan penyakit yang sama walau pun mereka menyatakanya dalam bentuk yang berbeza.

Dan analisis orang terhadap penyakit-penyakit Melayu tidak pernah berkurang. Hal yang sama terus disebut berulangkali oleh para sarjana, cendekiawan dan tidak terkecuali oleh para pemimpin UMNO sendiri.

Ada juga pihak yang berusaha bersungguh-sunguh untuk menafikan tanggapan-tanggapan buruk itu. Dalam ‘Metos Pribumi Malas’ misalnya, tokoh besar Profesor Syed Hussain Al-Attas pernah menyanggah tanggapan-tanggapan tersebut dengan sekeras kerasnya.

Syed Hussain berpendapat orang Melayu sebenarnya adalah kaum yang berdedikasi, rajin dan mempunyai inisiatif untuk memperbaiki kedudukan dirinya. Tetapi persekitaran yang ada pada era kolonial, terutama ketidak upayaan mereka menguasai teknologi dan ketiadaan peluang untuk mendapat pendidikan terbaik sebagaimana kaum-kaum lain menyebabkan orang Melayu gagal mencapai matlamat itu. Akhirnya, Melayu pun akur pada keadaan dan kekal dalam kemelut kemiskinan di sektor-sektor pertanian sara diri di luar bandar.

Apa yang diketengahkan oleh Syed Hussain itu memang banyak betulnya. Malah,jika disingkap sejarah silam, orang Melayu pernah mencapai banyak kegemilangan. Mereka telah mendirikan banyak kerajaan-kerajaan besar seperti Srivijaya, Mataram, Majapahit, Silendra, Langkasuka dan terakhir kerajaan Melayu Melaka yang gemilang itu. Semua itu tentu mustahil dilakukan jika orang Melayu benar-benar merupakan bangsa yang bengap dan malas.

Namun, dengan menganggap semua pendapat Syed Hussain itu benar seratus peratus sekali pun, dan dengan menoleh kembali pada kegemilangan silam bangsa ini, kita masih tidak boleh menafikan bahawa orang Melayu sekarang masih bermasalah. Kalau pun benar mereka rajin, berdedikasi dan bersemangat tinggi, dalam satu konteks lain mereka masih dibelenggu oleh banyak penyakit. Ironinya, penyakit-penyakit mereka sekarang ini tidaklah pula dibawa oleh kesusahan, kegagalan dan keciciran seperti masa lalu, sebaliknya ia datang bersama kekuasaan, kejayaan dan kegemilangan.

Dengan perkataan lain, kita ini merupakan orang-orang berjaya yang sakit atau lebih tepat lagi orang-orang bertuah yang berpenyakit.

Seperti yang dimaksudkan oleh ‘Metos Pribumi Malas’, segala kelemahan dan penyakit Melayu berpunca daripada dasar-dasar penjajah Inggeris. Tetapi kenyataan itu hanya benar untuk suatu waktu dahulu. Sekarang ia mungkin tidak begitu relevan. Lagi pun sampai bila kita hendak menjadi Inggeris sebagai kambing hitam?

Sebenarnya, mengikut perkiraan ramai, selain daripada kesan penjajahan dan sikap orang Melayu sendiri, ada pihak lain yang harus dipersalahkan terhadap apa juga kegagalan bangsa ini.

Dan pihak itu adalah kita -ahli-ahli UMNO.

Bunyinya memang tidak adil. Tetapi ini bukan soal keadilan. Ini soal amanah. Soal harapan dan tanggungjawab. Soal hakikat bahawa UMNO sesungguhnya bermula daripada harapan orang Melayu. Harapan untuk mengusir penjajah. Harapan untuk keluar daripada tempurung yang diserkupkan ke kepala mereka. Harapan untuk mempertahankan apa yang ada dan mendapatkan kembali apa yang hilang. Harapan yang tidak dapat tidak harus UMNO terima sebagai satu tanggung jawab.

Gabungan segala harapan itulah yang menyebabkan orang Melayu berlumba-lumba menyertai UMNO apabila ia diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar. Harapan yang sama menyebabkan orang Melayu tidak takut-takut untuk turun berarak menentang gagasan Malayan Union ciptaan Harold MacMichael. Dan dengan harapan-harapan itu juga orang Melayu memenuhi Padang Kelab Selangor untuk melihat Union Jack diturunkan dan kerana harapan yang sama mereka membanjiri Stadium Merdeka untuk turut melaungkan ‘Merdeka!’ bersama-sama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Harapan itu terus hidup sehingga kini. Tentu marak walau pun dalam bentuk yang mungkin kian berbeza. Harapan tersebut juga tidak mungkin padam selagi UMNO tidak padam!

Memanglah benar, ada ketikanya harapan yang digantungkan oleh orang Melayu terhadap UMNO agak keterlaluan. Mereka mengharapkan segala-galanya; daripada joran dan mata pancing sehinggalah kepada umpan dan ikan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada ketikanya orang Melayu sendiri hanya pandai mengharap tetapi tidak berbuat apa-apa untuk mengubah kedudukan mereka. Dengan bahasa yang lebih mudah, setelah disediakan ikan, orang Melayu masih culas hendak memasaknya. Mereka mengharap disuapkan lauk ke mulut.

Tetapi dalam skop pandangan yang lebih luas, orang Melayu masih tidak boleh dipersalahkan. Yang bersalah tetap UMNO. Harus diingat, salah satu sifat unik dan aneh orang Melayu ialah tahap pengabdian mereka yang tinggi terhadap pihak yang lebih atas. Dalam sejarah Melayu, penderhakaan mempunyai bahagian yang cukup kecil dan tidak ada satupun yang boleh dianggap berjaya secara mutlak. Yang ramai di kalangan orang Melayu ialah yang setia sebagai pengikut. Mereka mungkin tidak boleh diharap untuk berada di hadapan, tetapi mereka sentiasa bersedia untuk berdiri di belakang.

Dengan ketaatan itulah orang Melayu berdiri di belakang UMNO. Kepada UMNO, mereka telah memberikan segala yang patut diberikan selama lebih setengah abad. Orang Melayu menyerahkan jiwa raga mereka tanpa dakwa-dakwi dan hasilnya UMNO berjaya mencatat rekod untuk berdiri sebagai parti politik yang paling lama memerintah sesebuah negara.

Memang benar, ada ketikanya kesetiaan orang Melayu terhadap UMNO kelihatan sedikit tergugat. Namun jika diamati, perkara perkara begitu terjadi lebih disebabkan oleh faktor-faktor yang bersifat peribadi - selalunya kerana kurang senang terhadap seorang pemimpin atau sekumpulan kecil kepemimpinan. Dengan perkataan lain, orang Melayu marah, merajuk dan mungkin lari meninggalkan UMNO bukan kerana tidak bersetuju dengan dasar dan prinsip UMNO sebagai sebuah organisasi, tetapi kerana kurang berkenan dengan individu atau kalangan tertentu di dalamnya.

Begitu pun, ujian-ujian kesetiaan tersebut selalunya berada di peringkat yang boleh dikawal. Ianya tidaklah sampai ke peringkat tercabutnya hak-hak keistimewaan yang diberikan oleh orang Melayu kepada UMNO. Hak keistimewaan yang membolehkan UMNO terus berdiri megah sebagai institusi yang disegani dan dicemburui oleh kawan serta lawan.

Dengan apa yang diberikan oleh orang Melayu kepada UMNO itu, maka tidak hairanlah jika mereka membebankan pula UMNO dengan harapan-harapan yang sangat besar. Mereka telah memberikan kepada UMNO dua perkara yang amat diperlukan oleh mana-mana parti politik iaitu kuasa dan kehormatan. Jadi tentulah tidak salah jika orang Melayu meminta UMNO pula memberikan apa yang mereka mahu; hak dan penghormatan.

Bersama-sama harapan itu, orang Melayu juga menggantungkan satu harapan lain kepada UMNO. Mereka mahukan UMNO memimpin, membina dan menunjuk ajar mereka dalam segala perkara. Sebab itulah, jika mereka tidak terbimbing, yang bersalah bukan bangsa lain, bukan pihak lain tetapi UMNO. Sebab itu jugalah jika orang Melayu tidak berubah, yang patut merenung muka di cermin bukan hanya orang Melayu itu sendiri, tetapi juga seluruh ahli UMNO.

Pemahaman tentang tanggung jawab inilah yang perlu diperhalusi betul-betul oleh setiap ahli UMNO, baik di peringkat mana sekali pun.

Secara peribadi saya beranggapan, sejak tahun-tahun kebelakangan ini, nilai kefahaman itu telah kian menipis. Di sana sini telah muncul ahli-ahli UMNO yang berfikiran songsang kerana menganggap orang Melayu terhutang pada UMNO sedangkan sebenarnya UMNOlah yang banyak berhutang pada orang Melayu.

Mengapakah salah fahaman ini wujud?

Mengapa ahli-ahli UMNO gagal memahami tanggungjawab mereka terhadap seluruh umat Melayu?

Mengapa mereka yang menyedarinya gagal menyedarkan yang lain?

Jawapannya hanya kerana satu. Kerana di dalam UMNO sendiri wujud banyak penyakit dan penyakitnya yang paling teruk dan paling besar ialah ‘penyakit nak hidup’!